Anda berada di: Halaman Utama Profail Jamaah Pengurusan

JAMAAH PENGURUSAN SMITA_old

E-mail Cetak PDF

 

AL-FADHIL USTAZ HAJI ANZARUDDIN BIN HAJI AHMAD

Beliau adalah seorang ahli akademik yang mempunyai latar belakang pendidikan yang ‘holistic & integrated’ dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Barat, Timur Tengah dan Malaysia. Beliau mendapat B.Sc. (Hons) Pengurusan Antarabangsa dari California State Universiti, B.A.(Hons) Bahasa & Linguistik Arab dari Universiti Malaya, Post-Graduate Diploma (Pengajian Islam - Syariah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Sijil Tinggi Bahasa & Budaya Arab dari Kementerian Pengajian Tinggi Mesir, dan M.A. dalam Bahasa Arab Untuk Pengajian al-Quran dari Universiti Malaya. Sekarang ini beliau sedang menyiapkan Tesis PhDnya dalam bidang Fiqh Hadith dari Universiti Malaya.

Di samping itu, peluang berguru dengan para ‘ulama di Mesir, Indonesia dan Malaysia banyak memberi nilai tambah kepada ilmu Islamnya. Pengalaman melakukan kajian terhadap umat Islam dan terlibat dalam gerakan dakwah di Amerika Syarikat, Australia, Indonesia dan Malaysia banyak membantu mematangkan pendekatan dakwahnya dan memperluaskan spektrum ilmunya. Pengalaman beberapa tahun memimpin persatuan pelajar semasa di universiti juga banyak membantu beliau mengasah bakat kepimpinannya.

Beliau adalah seorang pendakwah bertauliah JAIS yang dipertanggung-jawabkan untuk mengisi pelbagai program termasuk pengajian berkitab, kuliah maghrib / subuh,  kelas-kelas muslimat, forum bicara Islam, kelas Bahasa Arab dan lain-lain lagi terutamanya di Lembah Kelang. Beliau juga adalah seorang guru pembimbing jamaah Haji dan Umrah yang berpengalaman.

Dari segi kerjaya, beliau pernah bertugas dengan syarikat petroleum Multinasional tempatan di Kuala Lumpur dan Khartoum, Sudan selama hampir lapan tahun. Beliau pernah mengajar selama lebih kurang dua tahun di peringkat sekolah menengah dan kolej, dan sehingga ke hari ini beliau telah hampir 10 tahun mengajar di salah sebuah universiti awam tempatan (IPTA). Artikel-artikel akademik yang dihasilkan oleh beliau telah banyak dibentang dan diterbitkan di United Kingdom, Jerman, Tunisia, Indonesia dan Malaysia.


HAJAH MAHANUM BINTI ITAM

Puan Mahanum Binti Itam memegang ijazah BA (Hons) Universiti Malaya dan MBA, University Strathclyde, Glasgow, Scotland.Berkhidmat dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), beliau berpengalaman luas dengan penempatannya di Kementerian Pertahanan, Kesihatan, Luar Bandar dan MITI.  Beliau bersara pada tahun 2003 dari jawatannya sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Perumahan Negara.

Seorang yang berjiwa kebajikan, Puan Mahanum menubuhkan Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al-Amin di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak pada tahun 2001 hampir bersendirian dengan hanya bantuan dari sahabat-sahabatnya. Kini Puan Mahanum menaja bayaran sebahagian yuran bagi 31 orang pelajar yatim dan miskin.


HAJI HASSAN BIN IBRAHIM

Hassan Bin Ibrahim, dilahirkan pada tahun 1952 adalah seorang Peguambela dan Peguamcara yang memperolehi Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Singapura pada tahun 1975. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Undang-undang dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad pada tahun 1976 selama tiga (3) tahun sebelum menceburi bidang pelaburan dan perbankan di Bank yang sama untuk tahun-tahun berikutnya. Seterusnya pada tahun 1987 sehingga 1989 beliau dipinjamkan ke Pembangunan Leasing Corporation Sdn Bhd sebagai Ketua Eksekutif sebelum berhenti untuk mengamal bidang guaman.

Kini beliau menjalankan perniagaan sebagai Peguambela dan Peguamcara secara persendirian dibawah firma Tetuan Hassan & Associates. Beliau mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai pengamal undang-undang khususnya didalam bidang perundangan korporat, hartanah dan perbankan berdasarkan prinsip Shariah.

HAJAH DEWI MASLEHAH BTE MD.YUSOP

Dewi Maslehah bte Md.Yusop dilahirkan pada tahun 1960 di Perak Darul Ridzwan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Raja Isteri Fatimah, Brunei Darussalam,  Maahad  Al Ehya As-Syarif, Gunung Semanggul, Perak dan Kolej Islam Klang, Selangor. Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1978 dan mendapat ijazah B.A (Hons) Pengajian Islam 1981 dan  Diploma Pendidikan (B.Malaysia dan Geografi).

Beliau telah memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Mantin pada tahun 1982. Beliau juga pernah berkhidmat di Sek.Men.King George V, Seremban, Sek.Men.Tarcisian Convent,Ipoh dan Sek.Men Petaling, Kuala Lumpur. Pada tahun 1990 beliau mula berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Islam Bangi. 1993 beliau melanjutkan pelajaran semula di Universiti Malaya dan mendapat Ijazah M.Ed (Pedagogi dan Psikologi) 1996. Beliau juga pernah berkhidmat dengan Kerajaan Brunei sebagai Pegawai Pelajaran Agama dan kaunselor sehingga 2004.

Beliau berminat di bidang penulisan ilmiah dan sebahagian hasil penulisannya pernah diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan Islam, Majalah Beriga dan Majalah Juara, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam.


HAJI AHMAD FAUDZI BIN MOHD YUSOF

Haji Ahmad Faudzi bin Mohd Yusof dilahirkan pada tahun 1947 dan berasal dari Lenggeng Negeri Sembilan Ahmad Faudzi Bin Mohd Yusof ialah saorang pesara.Bekas pelajar Maktab Mara(sekarang UiTM) beliau menamatkan pengajiannya dalam jurusan perakaunan di United Kingdom dan mempunyai kelulusan professional Chartered Institute of Management Accountants UK.

Sekembalinya dari luar negeri beliau bekerja dengan sabuah syarikat multinasional Amerika selama 20 tahun menyandang pelbagai jawatan dalam bidang perakaunan dan sistem perakaunan. Dalam jangka masa tersebut beliau pernah bertugas di New Zealand, Indonesia,Singapura dan Hongkong sebelum kembali bertugas di Malaysia hingga bersara.


HAJI AR OTHMAN BIN MOHAMAD

AR Othaman Mohamad, atau lebih dikenali dengan nama Mas Othman, APAM AIPDM, seorang akitek dengan ijazah B.Sc Arch dari Aberdeen University Scotland, 1972.

Beliau memulakan karier akiteknya dengan bertugas sebagai Penolong Akitek di Hijjas Kasturi and Associates dari 1975-1976 dan selepas itu menunaikan khidmat negara selama 3 tahun di ibu pejabat JKR, Terengganu. Dalam tahun 1980, beliau membuka firmanya sendiri, Mas Othman Associates, yang beroperasi hingga kini.

Seorang muslim yang aktif, AR Othman berperanan sebagai imam masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, Selangor dari 1995 hingga 1999. Dan kerana minatnya yang mendalam dibidang pendidikan Islam, beliau telah dan terus terlibat dalam penubuhan dan perjalanan beberapa sekolah Islam termasuk Sekolah Islam Adni di Kuala Lumpur dan Maahad Al-Manar di Kelantan.


ROMLI BIN ABDUL HAMID

En. Romli Bin Abdul Hamid, walaupun di lahirkan di Kubang Pasu, Kedah membesar dan bersekolah di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak berikutan penghijrahan keluarganya. Setelah tamat pendidikan menengahnya sehingga ke tingkatan enam, beliau memilih untuk jadi guru dan mendapat latihan di Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bahru untuk Diploma Penguruan Asas.

Sejak permulaan kariernya sebagai seorang guru, di Sekolah Seri Besout, Slim River dalam 1985, Cikgu Romli telah mengumpul pengalaman mengajar di peringkat sekolah menengah lebih dari 26 tahun. Dalam tahun 1995 beliau sempat memperluaskan kemahirannya dengan memasuki Institut Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur untuk mendapat Diploma Perguruan Khas (Drama/sastera) Beliau juga telah mengikuti berbagai kursus, seminar dan bengkel dan terlibat dengan baranika aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Diluar kerja rasminya Cikgu Romli bergerak aktif dalam mempertingkatkan ilmu agamanya dan giat dalam penubuhan beberapa buah NGO dan kumpulan-kumpulan usrah.